SEBAB-SEBAB HADAS KECIL
Apa sebab terjadinya hadas kecil?
(Perkara-perkara yang membatalkan wudhuk)
Hadas kecil terjadi apabila seseorang itu terbatal wudhuknya. Sebab-sebab yang membatalkan wudhuk ialah;
1. Keluar sesuatu dari kemaluan
Keluar sesuatu dari kemaluan sama ada kemaluan hadapan atau belakang, yakni zakar/faraj atau dubur sama ada yang keluar itu air kencing, tahi, kentut, air mazi atau air wadi akan membatalkan wudhuk. Ia telah disepakati oleh sekelian ulamak berdalilkan ayat Allah (yang bermaksud); “Dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam musafir, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu bersentuhan dengan perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah debu yang bersih…”. (al-Maidah; 6)
Ungkapan “…atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air…” di dalam ayat di atas bermaksud selepas kencing atau berak, yakni apabila seseorang dari kamu selesai dari kencing atau berak, hendaklah ia mengambil wudhuk. Jika tidak ditemui air, hendaklah ia bertayammum. Di dalam hadis, Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- bersabda; “Tidak diterima solat seseorang dari kamu jika ia berhadas hinggalah ia mengambil wudhuk (terlebih dahulu)”. Seorang lelaki penduduk Hadramaut bertanya Abu Hurairah (yang menyampaikan hadis ini); “Wahai Abu Hurairah, apa itu hadas?”. Jawab beliau; “Kentut (sama ada yang tidak berbunyi atau yang berbunyi)” (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah). Dalam hadis yang lain, Nabi bersabda; “Tidak wajib wudhuk kecuali bila terdengar bunyi (yakni bunyi kentut) atau keluar angin (kentut tanpa bunyi)” (Riwayat at-Tirmizi dan Ibnu Majah dari Abu Hurairah. Menurut Imam an-Nawawi, hadis ini soheh).
Bagaimana jika yang keluar dari kemaluan itu adalah batu, darah, ulat dan sebagainya dari perkara yang jarang berlaku?
Menurut jumhur ulamak –termasuk mazhab Syafi’ie, Abu Hanifah dan Ahmad-; semua yang keluar melalui zakar dan dubur akan membatalkan wudhuk sama ada dari benda-benda yang biasa (yakni tahi, kencing dan sebagainya tadi) atau yang luar biasa (batu, darah, ulat dan sebagainya). Di dalam hadis, Rasulullah s.a.w. memerintahkan wanita yang mengalami istihadhah (yakni keluar darah dari kemaluannya di luar masa haid) agar mengambil wudhuk setiap kali hendak menunaikan solat fardhu (Riwayat Imam Abu Daud dan ad-Daruqutni dari Fatimah bin Abi Hubais r.a. dengan sanad yang siqah). Hadis ini menunjukkan bahawa keluar darah dari kemaluan membatalkan wudhuk sekalipun ia bukan selalu berlaku. Dikias kepadanya benda-benda lain yang jarang keluar melalui kemaluan. Mazhab Imam Malik berpendapat; “Perkara-perkara yang jarang keluar melalui kemaluan itu tidak membatalkan wudhuk”.
Jika seseorang tidak dapat mengeluarkan najis melalui saluran asal (yakni zakar atau duburnya), lalu dibuat saluran di bahagian ususnya, adakah najis yang keluar melalui saluran baru itu akan membatalkan wudhuk?
Menurut mazhab Imam Syafi’ie dan juga Imam Malik; “Ia membatalkan wudhuk jika sekiranya lubang atau saluran itu berada di bawah perut dan saluran najis yang asal (iaitu zakar atau dubur) telah tertutup, yakni saluran baru itu telah mengambil tempat saluran asal sebagai tempat keluar najis”.