Dalam buku Nahjul Balaghah karangan Amirul-Mukminin Ali bin Abi Thalib r.a terdapat suatu keterangan:
“Wanita itu jahat dalam segalanya. Dan yang paling jahat dari dirinya ialah kita tidak dapat terlepas daripadanya.”
Apakah erti yang sebenarnya (maksud) dari kalimat tersebut? Apakah hal itu sesuai dengan pandangan Islam terhadap wanita?
Ada dua hal yang nyata kebenarannya, tetapi harus dijelaskan lebih dahulu, iaitu:
Pertama, yang menjadi pegangan atau dasar dari masalah-masalah agama ialah firman Allah swt. dan sabda Nabi saw, selain dari dua ini, setiap orang kata-katanya boleh diambil dan ditinggalkan. Maka, Al-Qur’an dan As-Sunnah, kedua-duanya adalah sumber yang kuat dan benar.
Kedua, sebagaimana telah diketahui oleh para analis dan cendekiawan Muslim, bahawa semua tulisan yang ada pada buku tersebut di atas (Nahjul Balaghah), baik yang berupa dalil-dalil atau alasan-alasan yang dikemukakan, tidak semuanya tepat. Diantara hal-hal yang ada pada buku itu ialah tidak menggambarkan masa mahupun fikiran serta cara di zaman Ali r.a.
Oleh sebab itu, tidak dapat dijadikan dalil dan tidak dapat dianggap benar, kerana semua kata-kata dalam buku itu tidak ditulis oleh Al-Imam Ali r.a.
Di dalam penetapan ilmu agama, setiap ucapan atau kata-kata dari seseorang, tidak dapat dibenarkan, kecuali disertai dalil yang shahih dan bersambung, yang bersih dari kekurangan atau aib dan kelemahan kalimatnya.
Maka, kata-kata itu tidak dapat disebut sebagai ucapan Ali r.a. kerana tidak bersambung dan tidak mempunyai sanad yang shahih. Sekalipun kata-kata tersebut mempunyai sanad yang shahih, bersambung, riwayatnya adil dan benar, maka wajib ditolak, kerana hal itu bertentangan dengan dalil-dalil dan hukum Islam. Alasan ini terpakai di dalam segala hal (kata-kata) atau fatwa, walaupun sanadnya seterang matahari.
Mustahil bagi Al-Imam Ali r.a. mengatakan hal itu, dimana beliau sering membaca ayat-ayat Al-Qur’an, di antaranya adalah:
“Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari seorang, yang kemudian darinya Allah lantas menciptakan isterinya, dari keduanya Allah mengembang biak kan laki-laki dan wanita yang banyak …” (Q.s. An-Nisa’: 1)
“Maka Tuhan mereka memperkenankan permohonannya (dengan firman-Nya): ‘Bahawa sesungguhnya Aku tiada mensia-siakan amal orang-orang yang beramal di antara kamu, baik laki-laki mahupun wanita, (kerana) sebahagian darimu adalah keturunan dari sebahagian yang lain …” (Q.s. Ali Imran: 195).
“Dan diantara tanda-tanda kekuasaan Allah ialah Dia menciptakan untuk mu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Allah menjadikannya diantara kamu rasa kasih dan sayang …” (Q.s. Ar-Ruum: 21).
Masih banyak lagi di antara ayat-ayat suci Al-Qur’an yang mengangkat dan memuji darjat kaum wanita, disamping kaum laki-laki. Sebagaimana Nabi saw. bersabda:
“Termasuk tiga sumber kebahagiaan bagi laki-laki ialah wanita solehah, kediaman yang baik dan kenderaan yang baik pula.” (H.r. Ahmad dengan sanad yang shahih).
“Di dunia ini mengandungi kenikmatan, dan sebaik-baik kenikmatan itu adalah wanita yang solehah.” (H.r. Imam Muslim, Nasa’i dan Ibnu Majah).
“Barangsiapa yang dikurniai oleh Allah wanita yang solehah, maka dia telah dibantu dalam sebahagian agamanya; maka bertakwalah pula kepada Allah dalam sisanya yang sebahagian.”
Banyak lagi hadis-hadis dari Nabi saw. yang memuji wanita; maka mustahil bahawa Ali r.a. berkata sebagaimana di atas.
Sifat wanita itu berbeza dengan sifat laki-laki dari segi fitrah; kedua-duanya dapat menerima kebaikan, kejahatan, hidayah. kesesatan dan sebagainya.
Firman Allah swt. dalam Al-Qur’an,
“Jiwa dan penyempurnaannya (ciptaannya); maka Allah mengilhamkan pada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketaqwaannya. Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu, dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.” (Q.s. Asy-Syams: 7-10)
Mengenai fitnah yang ada pada wanita disamping fitnah yang ada pada harta dan anak-anak, dimana hal itu telah diterangkan di dalam Al-Qur’an dan dianjurkan supaya mereka waspada dan menjaga diri dari fitnah tersebut.
Dalam sabda Rasulullah saw. diterangkan mengenai fitnahnya kaum wanita, iaitu seperti berikut,
“Setelah aku tiada, tidak ada fitnah yang paling besar gangguannya bagi laki-laki daripada fitnahnya wanita.” (H.r. Bukhari).
Erti dari hadis di atas menunjukkan bahawa wanita itu bukan jahat, tetapi mempunyai pengaruh yang besar bagi manusia, yang di kuatirkan lupa pada kewajipannya, lupa kepada Allah dan terhadap agama.
Selain masalah wanita, Al-Qur’an juga mengingatkan manusia mengenai fitnah yang disebabkan dari harta dan anak-anak.
Allah swt. berfirman dalam Al-Qur’an:
“Sesungguhnya harta-harta dan anak-anakmu adalah fitnah (cubaan bagimu); dan pada sisi Allah-lah pahala yang besar.” (Q.s. At-Taghaabun: 15)
“Hai orang-orang yang beriman!Janganlah harta-hartamu dan anak-anakmu melalaikanmu mengingat kepada Allah. Barangsiapa yang berbuat demikian’ maka mereka termasuk orang-orang yang merugi.” (Q.s. Al-Munaafiquun: 9).
Selain dari itu (wanita, anak-anak dan harta yang dapat mendatangkan fitnah), harta juga sebagai sesuatu yang baik.
Firman Allah swt.:
“Allah menjadikan bagi kamu isteri-isteri dari jenismu sendiri dan menjadikan bagimu dan isteri-isterimu itu, anak-anak dan cucu; dan memberimu rezeki dari harta yang baik-baik …” (Q.s. An-Nahl: 72)
Oleh kerana itu, dianjurkannya untuk waspada dari fitnah kaum wanita, fitnah harta dan anak-anak, hal itu bukan bererti kesemuanya bersifat jahat, tetapi demi mencegah timbulnya fitnah yang dapat melalaikan kewajipan-kewajipan yang telah diperintahkan oleh Allah swt.
Allah swt. tidak mungkin menciptakan suatu kejahatan, kemudian dijadikannya sebagai suatu keperluan dan keharusan bagi setiap makhluk-Nya.
Makna yang tersirat dari suatu kejahatan itu adalah suatu bahagian yang amat sensitif, realitinya menjadi lazim bagi kebaikan secara mutlak. Segala bentuk kebaikan dan kejahatan itu berada di tangan (kekuasaan) Allah swt.
Oleh sebab itu, Allah memberikan bimbingan bagi kaum laki-laki untuk menjaga dirinya dari bahaya dan fitnah yang dapat disebabkan dan mudah dipengaruhi oleh hal-hal tersebut.
Diwajibkanjuga bagi kaum wanita, agar waspada dan berhati-hati dalam menghadapi tipu muslihat yang diupayakan oleh musuh-musuh Islam untuk menjadikan kaum wanita sebagai sarana perosak budi pekerti, akhlak yang luhur dan bernilai suci.
Wajib bagi para wanita Muslimat kembali pada kudratnya sebagai wanita yang soleh, wanita hakiki, isteri solehah, dan sebagai ibu teladan bagi rumahtangga, agama dan negara.
Sumber: Fatwa Qardhawi – Permasaalahan, Pemecahan dan Hikmah
ALLAH KUASA MAKHLUK TAK KUASA