Apakah tegahan-tegahan Syarak ke atas atas orang yang berjunub?
Ditegah ke atas orang berjunub segala tegahan terhadap orang yang berhadas kecil tadi dengan ditambah dua lagi tegahan, iaitu;
1. Membaca al-Quran
Diharamkan ke atas orang yang berhadas besar membaca al-Quran dengan lidahnya sekalipun satu ayat. Tegahan ini disepakati oleh jumhur ulamak termasuk imam-imam mazhab empat iaitu Abu Hanifah, Malik, Syafi’ie dan Ahmad. Mereka berdalilkan hadis dari Saidina ‘Ali r.a. yang menceritakan; “Rasulullah s.a.w. sentiasa membaca al-Quran. Tidak ada sesuatu yang menghalangnya dari membaca al-Quran kecuali kerana jnub” (Riwayat al-Hakim, Ibnu Majah dan Ahmad. Hadis ini telah ditashihkan oleh al-Hakim). Mengikut riwayat at-Tirmizi, hadisnya berbunyi; “Rasulullah s.a.w. membaca kepada kami al-Quran pada setiap keadaan selama baginda tidak berjunub” (Riwayat Imam at-Tirmizi dari Saidina ‘Ali r.a.. Berkata Imam at-Tirmizi; hadis ini hasan soheh) Saidina ‘Ali pernah ditanya berkenaan seorang berjunub membaca al-Quran. Ia menjawab; “Tidak harus sekalipun satu huruf”. Adapun melihat kepada al-Quran atau membacanya dengan hati (tanpa menggerakkan lidah), ia tidaklah ditegah.
Namun larangan membaca al-Quran tersebut dikecualikan bagi yang dibaca dengan niat doa, memuji Allah, membuka majlis, mengajar, memohon perlindungan Allah dan berzikir. Contohnya; membaca Bismillah sebelum memulakan sesuatu, membaca “al-Hamdulillah” untuk bersyukur kepada Allah, membaca zikir ketika menaiki kenderaan dan sebagainya. Terdapat pandangan dari Imam Malik mengharuskan wanita haid dan nifas membaca al-Quran dari ayat-ayat yang dihafalnya jika dibimbangi takut hilang dari ingatannya jika tidak dibaca sepanjang tempoh haid atau nifasnya. Namun, orang berjunub dilarang sama sekali membaca al-Quran.
Terdapat ulamak-ulamak yang menganggahi pandangan jumhur ulamak di atas iaitulah Imam Daud az-Dzahiri, Imam Ibnu Hazm, Imam Ibnu Taimiyyah dan beberapa lagi. Menurut mereka; harus bagi orang berjunub dan begitu juga wanita yang kedatangan haid membaca al-Quran keseluruhanya. Di kalangan Salaf, pendapat ini ada diriwayatkan dari Ibnu ‘Abbas dan juga Ibnu al-Musayyab. Dalil mereka ialah hadis dari Saidatina ‘Aisyah r.a. yang menceritakan; “Sesungguhnya Nabi s.a.w. sentiasa berzikir kepada Allah pada setiap ketika/masanya” (Riwayat Imam Muslim). Membaca al-Quran termasuk di dalam pengertian zikir.
2. Berhenti/menetap/beriktikaf di dalam masjid
Diharamkan ke atas orang berjunub untuk berhenti atau duduk di dalam masjid termasuklah beriktikaf berdalilkan firman Allah dalam surah al-Nisa’, ayat 43 (yang bermaksud); “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan, dan begitu juga (jangan hampiri tempat solat, iaitu masjid) sedang kamu dalam keadaan Junub (berhadas besar) - kecuali kamu hendak melintas sahaja - hingga kamu mandi bersuci…”. (an-Nisa’: 43). Begitu juga, berdalilkan sabda Nabi; “Sesungguhnya tidak halal (yakni tidak harus) masjid bagi wanita haid dan orang berjunub” (Riwayat Imam al-Baihaqi, Abu Daud dan Ibnu Majah dari Aisyah r.a.. Kata al-Baihaqi; hadis ini soheh. Namun menurut Imam Ibnu Kathir di dalam tafsirnya; Telah berkata Imam al-Khattabi; “Hadis ini telah didhaifkan oleh sekumpulan ulamak hadis”).
Diharuskan jika sekadar melalui/melintas (contohnya dari satu pintu ke satu pintu yang lain) sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah dalam ayat di atas; “….kecuali kamu hendak melintas sahaja…”. Menurut mazhab Imam Syafi’ie dan Imam Malik; keharusan melintas itu adalah secara keseluruhannya sama ada kerana keperluan atau saja-saja. Cuma bagi wanita yang kedatangan haid dan nifas, keharusan melintasi tersebut terikat dengan syarat tidak bimbang akan mencemarkan masjid. Maksudnya, jika ia khuatir semasa melintasi masjid itu darahnya akan menitis keluar, ditegah ia melintasi ruang masjid. Bagi Imam Abu Hanifah; tidak harus melintas kecuali kerana tidak ada jalan lain dan ia hendaklah mengambil wudhuk terlebih dahulu, kemudian baru melintas. Menurut Imam Ahmad; harus melintas jika ada hajat atau keperluan sahaja. Kalau tidak ada sebarang hajat atau keperluan, tidak harus melintas. Selain itu, Imam Ahmad berpendapat; orang yang berjunub harus duduk di dalam masjid jika ia mengambil wudhuk. Ia berdalilkan kepada riwayat A’tho’ bin Yasar (seorang Tabi’in) yang menceritakan; “Aku telah melihat beberapa orang sahabat Rasulullah s.a.w.; mereka duduk di dalam masjid sedangkan mereka berjunub apabila mereka telah mengambil wudhuk sebagaimana wudhuk untuk menunaikan solat”.( Lihat Tafsir Ibnu Kathir, surah an-Nisa’, ayat 43. Berkata Imam Ibnu Kathir; riwayat ini sanadnya adalah soheh mengikut syarat Imam Muslim). Bagi ulamak-ulamak yang lain, pengharaman tersebut tidak terangkat melainkan dengan mandi wajib. Adapun wudhuk ia tidak memberi kesan kepada pengharaman tersebut.
Pengharaman di atas adalah pandangan jumhur ulamak. Terdapat juga ulamak-ulamak yang tidak bersetuju dengan pandangan jumhur tersebut, antara mereka Imam al-Muzani, Daud az-Zahiri dan Ibnu al-Munzir. Bagi mereka; harus orang yang berjunub untuk menetap di dalam masjid secara mutlaknya, yakni tidak diharamkan. Mereka berdalilkan sabda Nabi s.a.w. yang menegaskan; “Seorang muslim tidaklah najis” (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.). Imam al-Muzani berhujjah; “Orang musyrik diharuskan duduk di dalam masjid, maka orang muslim lebih utama diharuskan”. Hujjah mereka juga; “Asal hukum duduk di dalam masjid ialah harus hinggalah ada dalil yang kuat mengharamkanya. Dalil-dalil pengharaman yang dikemukakan oleh jumhur ulamak tadi semuanya lemah, tidak kuat”. Adapun ayat di atas, ia tidak bermaksud “menghampiri tempat solat, yakni masjid” tetapi “menghampiri solat itu sendiri” sebagaimana di awal ayat. Ungkapan “عابري سبيل” pula bukan bermaksud “orang-orang yang melintasi jalan” sebagaimana tafsiran jumhur di atas, tetapi bermaksud “orang-orang yang bermusafir”. Kesimpulannya, bagi pandangan kedua ini, ayat tersebut bermaksud; “Dan janganlah orang-orang yang berjunub menghampiri solat (yakni mengerjakannya) kecuali bagi orang-orang yang bermusafir (yang berjunub semasa musafirnya dan ia tidak menemui air untuk mandi, maka hendaklah ia mengerjakan solat dengan bertayammum hinggalah ia menemui air)”. (Tafsir Ibnu Kathir, surah an-Nisa’, ayat 43).