Jangan-Bersedih1

Sahabat ku

Terimakasih kerana ' FOLLOW ' blogku ini, semoga Allah akan merahmati hidup kita semua...aamin yarabbal'alamin.

Hukum Membuat dan Menggantung Gambar

Assalammualaikum.....


Berkenaan dengan larangan membuat atau menggantung (menayangkan) gambar-gambar dari lukisan atau yang seumpamanya adalah dapat diperhatikan dengan baik daripada banyak hadis-hadis Rasulullah SAW yang sahih. Berikut dibawakan sebahagian daripadanya berserta beberapa fatwa ulama berkenaan dengannya.

Ancaman Kepada Pembuat/Pelukis Gambar:
Orang yang paling mendapat siksa pada hari kiamat adalah para pembuat gambar
(pelukis/pengukir). (Hadis Riwayat al-Bukhari dalam Kitab Pakaian (al-Libas), 5959. Muslim dalam bab yang sama, 2109)

Daripada ‘Aun bin Abu Juhaifa, Ayahnya menyatakan, “Nabi saw melarang mengambil duit jual beli anjing dan darah, melarang kerja-kerja membuat tatoo dan mentatoo diri, melarang menerima atau memberi riba, dan juga mencela pembuat gambar”

(Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab Jual Beli (3/34), no. 299)

Daripada ‘Aisyah dia menjelaskan, “Aku membeli sebuah bantal bergambar. Apabila Rasulullah saw melihat ia, dia berdiri di pintu dan tidak terus masuk ke rumah. Aku menyedari air mukanya berubah kelihatan seperti ada sesuatu yang tidak disukainya. Aku berkata, “Wahai Rasulullah, aku bertaubat kepada Allah dan Rasul-Nya, (tolong beritahu aku) apakah dosa ku?” Rasulullah saw berkata, “Ada apa dengan bantal ini?” Aku menjawab, “Aku membelinya untuk engkau agar dapat duduk dan bersandar padanya”. Rasulullah saw berkata, “Pembuat gambar ini akan di-azab pada hari kiamat
.” Rasulullah saw menambah, “Malaikat (pembawa rahmat) tidak akan masuk ke dalam rumah yang di dalamnya terdapat gambar”.” 
(Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab Jual Beli (3/34), no. 318)

Daripada Said bin Abu al-Hasan, “Ketika saya bersama Ibnu ‘Abbas, seorang lelaki datang dan berkata, “Wahai Ibnu Abbas, pendapatan (periuk nasi) saya adalah dari hasil kerja tangan saya dan kerja saya adalah membuat gambar-gambar ini”. Ibnu ‘Abbas berkata, “Saya sekadar memberi tahu apa yang saya dengar dari Rasulullah. Saya mendengar beliau bersabda, “Barang siapa membuat gambar dia akan di-azab oleh Allah sehingga dia mampu menghidupkannya dan sesungguhnya dia tidak akan berupaya untuk menghidupkannya”
. Mendengarkan hal ini, lelaki itu menarik nafas panjang (mengeluh) dan mukanya menjadi pucat. Ibnu ‘Abbas berkata padanya, “Jika kamu masih tetap mahu untuk membuat gambar-gambar, saya menasihatkan agar kamu membuat gambar-gambar pokok (tumbuh-tumbuhan) dan sebarang gambar yang bukan berupa dari makhluk bernyawa”.” 
(Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab Jual Beli (3/34), no. 428)

Daripada Ibnu ‘Abbas, “Aku mendengar Muhammad berkata, “Barang siapa membuat gambar di dunia ini, dia akan dipersoalkan serta diminta supaya memberikan nyawa kepada apa yang dilukiskannya pada hari kiamat nanti, tetapi dia tidak akan mampu melakukannya”
.” 
(Hadis Riwayat al-Bukhari Kitab Pakaian (7/72), no. 846)

Gambar Yang Dilarang Adalah Gambar Berupa Makhluk Bernyawa:

... Ibnu ‘Abbas berkata padanya, “Jika kamu masih tetap mahu untuk membuat gambar-gambar, saya menasihatkan agar kamu membuat gambar-gambar pokok (tumbuh-tumbuhan) dan sebarang gambar yang bukan berupa dari makhluk bernyawa”
.” 
(Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab Jual Beli (3/34), no. 428)

Daripada Ibnu ‘Abbas, “Abu Talha, seorang sahabat Rasulullah dan seorang sahabat yang pernah bersama dalam peperangan badar memberitahu kepadaku bahawa Rasulullah berkata, “Malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang di dalamnya ada anjing atau gambar.” Yang dia maksudkan adalah gambar yang menyerupai makhluk bernyawa
.” 
(Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab Ekspedisi Peperangan Bersama Nabi (5/59), no. 338)

Daripada Abu Talha, “Aku mendengar Rasulullah saw berkata, “Malaikat (Pembawa Rahmat) tidak akan memasuki rumah yang di dalamnya ada anjing atau gambar yang berupa dari makhluk bernyawa”
.” 
(Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab Penciptaan (4/54), no. 448)

Malaikat Rahmat Tidak Akan Memasuki Rumah Yang Mengandungi (Menayangkan/Memaparkan) Gambar

Daripada Abu Talha, “Aku mendengar Rasulullah berkata, “Malaikat (Pembawa Rahmat) tidak akan memasuki rumah yang di dalamnya ada anjing atau gambar yang berupa dari makhluk bernyawa”
.” 
(Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab Penciptaan (4/54), no. 448)

“Suatu ketika Malaikat Jibril berjanji kepada Nabi yang mana dia akan datang menemui Nabi, tetapi dia tidak datang-datang. Dan kemudiannya dia (Jibril) memberitahu, “Kami dari golongan malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang di dalamnya mengandungi gambar
(berupa makhluk bernyawa) atau anjing.” 
(Hadis Riwayat al-Bukhari (4/54), no. 450)

‘Aisyah menyatakan bahawa Jibril (‘alaihis salam) berjanji dengan Rasulullah (s.a.w.) untuk menemuinya pada masa yang telah ditetapkan, namun pada masa yang tersebut, dia (Jibril) tidak datang. Kemudiannya Nabi mencampakkan tongkat di tangannya dan berkata, “Tidak pernah Allah dan utusannya (Malaikat Jibril) memungkiri janji”. Kemudian nabi terlihat dan menemui anak anjing di bawah katil dan berkata, “Aisyah, bila anjing ini masuk ke sini?” Dan beliau (‘Aisyah) menjawab, “Demi Allah, saya tidak tahu.” Kemudiannya Nabi mengarahkan dan anjing itu pun dikeluarkan. Tidak lama selepas itu, Jibril pun datang dan Rasulullah berkata kepadanya, “Engkau berjanji kepada saya dan saya menantikan engkau, tetapi engkau tidak datang-datang. Jibril pun menyatakan, “Di dalam rumah-mu ada anjing, di mana ia menghalang (saya untuk masuk), untuk kami (malaikat) tidak masuk rumah yang di dalamnya ada anjing atau gambar”
.” 
(Hadis Riwayat Muslim, Kitab Pakaian & Perhiasan (24), no. 5246)

Daripada Ibnu ‘Abbas, “Nabi pernah memasuki Ka’bah dan menemui di dalamnya (lukisan) gambar Nabi Ibrahim dan Mariam. Kemudiannya beliau berkata, “Benda apa ini? Bukankah mereka mengetahui bahawa malaikat tidak masuk rumah yang di dalamnya mengandungi gambar; termasuklah gambar (nabi) Ibrahim ini. Dan kenapa dia digambarkan sedang mempraktikkan meramal dengan anak panah?”.” 

(Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab Para Nabi (4/55), no. 570)

Daripada Ibnu ‘Abbas, “Abu Talha, seorang sahabat Rasulullah dan seorang sahabat yang pernah bersama dalam peperangan badar memberitahu kepadaku bahawa Rasulullah saw berkata, “Malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang di dalamnya ada anjing atau gambar.
” Yang dia maksudkan adalah gambar yang menyerupai makhluk bernyawa.” 
 (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab Ekspedisi Peperangan Bersama Nabi (5/59), no. 338)

Daripada Aisyah, Nabi menyatakan: “Malaikat (pembawa rahmat) tidak akan masuk ke dalam rumah yang di dalamnya terdapat gambar.”
 
(Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab Jual Beli (3/34), no. 318)

Dalam hadis yang lain, patung/boneka juga menjadi faktor bahawa malaikat tidak memasuki rumah,

Dari Abu Talha meriwayatkan, katanya, “Aku mendengar Rasulullah (s.a.w.) berkata: “Malaikat tidak memasuki rumah yang di dalamnya ada anjing atau patung”.” 

(Hadis Riwayat Muslim, Kitab Pakaian & Perhiasan, no. 5250)

Perkataan Para Ulama Berkenaan Gambar

Imam al-Hafiz Ibnu Hajar al-Atsqalani mengatakan:

“Kata al-Khaththabi: dan gambar yang menghalangi masuknya malaikat ke dalam rumah adalah gambar yang padanya terpenuhi hal-hal yang haram, yakni gambar-gambar berupa makhluk yang bernyawa, yang tidak terpotong kepalanya atau tidak dihinakan. Dan bahawasanya dosa tukang gambar itu besar kerana gambar-gambar itu ada yang di-ibadahi selain ALLAH, selain itu gambar tersebut mudah menimbulkan fitnah (bahaya) bagi yang memandangnya (gambar wanita, tokoh, ulama, red).” (Dinukil dari Majalah Salafy, Edisi V/Zulhijjah/1416/1996. Judul asli - Fatwa Ulama tentang Hukum Gambar, oleh Syaikh Abdullah Bin Abdul Aziz bin Baz, mufti Saudi Arabia)

Imam an-Nawawi mengatakan dalam kitabnya, Syarah Sahih Muslim:

“Sahabat kami dan para Ulama selain mereka mengatakan bahawa haramnya membuat gambar haiwan adalah sekeras-keras pengharamaan. Ini termasuk dosa besar kerana ancamannya juga amat besar, sama saja apakah ia dibuat untuk dihinakan atau tidak. Bahkan membuatnya jelas sekali haram kerana meniru ciptaan ALLAH. Sama saja apakah itu dilukis pada pakaian, permadani, mata wang, bejana, dinding atau lainnya. Adapun menggambar pepohonan dan sesuatu yang tidak bernyawa, tidak mengapa. Inilah hakikat hukum membuat gambar. Sedangkan gambar makhluk bernyawa, jika digantung/ditampal di dinding, di serban dan tindakan yang tidak termasuk menghinakannya, maka jelas hal itu terlarang. Sebaliknya bila dibentangkan dan dipijak sebagai alas kaki atau sebagai sandaran (setelah dipotong kepalanya, ed.) maka tidaklah haram dan tidak ada bezanya adakah gambar yang tersebut berjasad (mempunyai bayangan atau 3 dimensi) atau tidak. Ini adalah kesimpulan mazhab kami dalam masalah ini yang semakna dengan perkataan jumhur Ulama dari kalangan para Sahabat, Tabi’in, dan orang yang sesudah mereka (Tabi’ut Tabi’in). Ini juga pendapat Imam ats-Tsauri, Malik Bin Anas dan Abu Hanifah serta ulama lainnya.

Pertikaian & Pencerahan

Dari Aisyah Radiyallahu ‘anha (r.anha) ia berkata:

“Saya biasa bermain boneka (anak patung) di sisi Nabi SAW dan saya mempunyai beberapa orang teman yang bermain bersama saya. Maka jika Rasulullah saw masuk, mereka menutupinya dari beliau lalu berjalan sembunyi-sembunyi dan bermain bersama saya.” 

(Hadis Riwayat al-Bukhari Kitab al-Adab Bab al-Inbisaath ilaa an-Naas, Fath 10/526 dan Muslim kitab Fadhail ash-Shahabah Bab fii Fadhail Aisyah, an-Nawawi, 15/203 dan 204)

Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata dalam Fathul Bari tentang hadis ini, “Hadis ini dijadikan dalil bolehnya boneka dan mainan untuk bermain (mendidik) anak perempuan, dan sebagai pengkhususan dari keumuman larangan mengambil gambar. Iyadl juga menetapkan yang demikian dan ia menukil dari jumhur, bahawasanya mereka membolehkan boneka atau mainan ini untuk melatih dan mendidik anak-anak perempuan agar mengenal bagaimana mengatur rumah-tangga dan merawat anak-anak nantinya. Dan sebahagian ulama menyatakan hadis ini telah mansukh (telah dibatalkan). Ibnu Bathal cenderung pada pendapat ini dan ia menceritakan dari Abi Zaid dari Malik. Tetapi dari sini pula ad-Daudy merajihkan bahawa hadis Aisyah (di atas) mansukh. Sedang Ibnu Hibban dan Nasa’i membolehkan namun tidak membatasi untuk anak-anak kecil walaupun padanya ada perbincangan.

Al-Baihaqi mengatakan setelah mentakhrij hadis-hadis tersebut: Telah tsabit (tetap) larangan tentang mengambil gambar. Maka kemungkinan rukhsah bagi Aisyah terjadi sebelum datangnya pengharaman. Ibnul Jauzi menetapkan yang demikian juga, sehingga beliau berkata: “Dan Abu Dawud dan an-Nasa’i dari sisi lain dari Aisyah (ia berkata): Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasalam datang dari perang Tabuk (Khaibar) {lalu menyebut hadis beliau mengoyakkan tirai yang tergantung di pintunya} Kemudian Aisyah melanjutkan, lalu beliau menyingkap sisi tirai di atas mainan Aisyah dan Beliau bersabda: “Apa ini hai Aisyah?”. Saya menjawab:”Boneka perempuan saya”. Beliau melihat kuda-kudaan bersayap yang dalam keadaan terikat, lalu bersabda: “Apakah ini?” Saya katakan: “Kuda bersayap dua. Tidakkah Anda mendengar bahawa Sulaiman a.s mempunyai kuda yang bersayap? Beliau pun tertawa.”.

Al-Khathabi berkata: Dalam hadis ini menunjukkan mainan untuk anak-anak perempuan tidaklah seperti semua gambar yang datang ancaman, hanya saja beliau memberikan keringanan bagi Aisyah kerana pada waktu itu Aisyah belum dewasa.”

Al-Hafiz berkata: Penetapan dengan dalil ini ada perbincangan, akan tetapi kemungkinannya adalah kerana Aisyah waktu peristiwa perang Khaibar berusia 14 tahun dan waktu peristiwa perang Tabuk sudah baligh. Dengan demikian, ini menguatkan riwayat yang mengatakan hal itu terjadi pada peristiwa Khaibar dan mengumpulkannya dengan pendapat al-Khathabi.

Menurut Sheikh Abdul Aziz bin Bazz, “Oleh kerana itu, jika hal ini telah difahami, maka meninggalkan gambar-gambar (boneka) itu adalah lebih selamat kerana padanya ada perkara yang meragukan. Mungkin penetapan Rasulullah SAW bagi Aisyah itu sebelum munculnya perintah beliau untuk menghapus gambar-gambar. Dengan begitu hadis Aisyah ini menjadi mansukh dengan datangnya larangan dan perintah penghapusan gambar itu, kecuali yang terpotong kepalanya atau dihinakan, sebagaimana mazhab al-Baihaqi, Ibnul Jauzi dan Ibnu Bathal. Dan mungkin juga ini dikhususkan dari pelarangan itu (sebagaimana pendapat jumhur) untuk kemaslahatan pendidikan. Ini kerana permainan itu merupakan bentuk penghinaan atas gambar (boneka). Jadi, dengan kemungkinan ini maka lebih baik untuk meninggalkannya, sebagaimana pengamalan sabda Rasulullah SAW dari al-Hasan bin Ali bin Abu Thalib Radiyallahu ‘anhu (r.a):

”Tinggalkan apa yang meragukanmu kepada yang tidak meragukanmu.” 

(Hadis Riwayat Ahmad, 1/200. Disahihkan oleh Ahmad Syakir dalam tahqiqnya terhadap Musnad, 3/169. ath-Thayalisi, m.s. 163, no. 1178 dan al-Albani mensahihkannya dalam Jamius Shaghir, no. 3372 dan 3373)

Demikian juga dalam hadis berikut ini dari Nu’man bin Basyir Radiyallahu ‘anhu secara marfu’,

“Yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Dan di antara keduanya ada perkara-perkara syubhat yang kebanyakan manusia tidak mengetahuinya, maka siapa yang menjaga diri dari syubhat, maka dia telah membersihkan Dien (agama) dan kehormatannya. Dan barang siapa yang jatuh kepada yang haram, seperti penggembala sedang menggembalakan ternaknya di sekitar tempat yang di pagar (terlarang), hampir-hampir ia terjatuh padanya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Mencari Ketenangan Jiwa



Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu
`Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah


HIBURAN YANG DIANJURKAN ISLAM

Hiburan sejati ialah hiburan yang bertapak di hati. Ia boleh membawa hati yang tenang. Syarat bagi ketenangan hati itu ialah dengan mengisi keperluan asasinya iaitu iman. Firman Allah Subhanahu wa ta‘ala dalam Al-Qur‘an yang tafsirnya :
“Orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikir kepada Allah. Ketahuilah! Dengan zikir kepada Allah itu, tenang tenteramlah hati manusia”.
(Surah Al-Ra‘ad: 28)

Oleh itu orang yang beriman akan mendapat hiburan dengan cara berhubung dengan Allah dengan melaksanakan perintah, kewajipan, melakukan perkara-perkara yang disunatkan seperti zikir, puasa, sedekah dan lain-lain seumpamanya, berinteraksi dengan alam ciptaan Allah, dan menerima segala ketentuan daripada Allah SWT.

Apabila melaksanakan perintah Allah, mereka terhibur kerana merasakan perintah itu datang daripada kekasihnya. Kalau yang menyuruh itu kekasih, tidak ada yang disusahkan bahkan kegembiraan yang akhirnya membawa ketenangan. Mereka rasa seronok dan terhibur dengan ibadah tersebut.

Orang mukmin juga rasa terhibur dengan warna kehidupan yang dicorakkan oleh Allah. Hatinya sentiasa bersangka baik dengan Allah, membuatkannya tidak pernah resah. Apabila diberi nikmat mereka rasa terhibur, lalu bersyukur. Diberi kesusahan, mereka terhibur, lalu bersabar. Mereka yakin dengan firman Allah SWT yang tafsirnya :
“(Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: “Ugama Islam yang kami telah sebati dengannya ialah): Celupan Allah (yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya selain daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat”.
(Surah Al-Baqarah: 138)

Orang yang beriman juga akan terhibur apabila melihat alam ciptaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Mereka merasa tenang, bahagia dan gembira melihat pantai, bukit bukau, langit, laut dan sebagainya. Melihat, mendengar dan berfikir tentang keindahan itu sudah cukup bagi mereka merasai keindahan alam dan kebesaran penciptaNya. Sifat sedemikian merupakan sifat orang-orang yang bertaqwa iaitu orang yang berusaha memelihara dirinya daripada menyalahi hukum dan undang-undang Allah Ta‘ala.

Firman Allah SWT tafsirnya :
“Sesungguhnya pertukaran malam dan siang silih berganti, dan pada segala yang dijadikan oleh Allah di langit dan di bumi, ada tanda-tanda (yang menunjukkan undang-undang dan peraturan Allah) kepada kaum yang mahu bertaqwa”.
(Surah Yunus: 6)


Selain itu mereka ini dapat menghayati maksud sabda Rasulullah SAW yang maksudnya:
“Sesungguhnya Allah itu indah. Dia suka keindahan”.
(Hadis riwayat Muslim )

Islam tidak menolak hiburan dari luar selama hiburan luar itu boleh menyumbang dan menyuburkan lagi hiburan dalaman hati dengan syarat ia mematuhi syariat. Alunan ayat suci Al-Qur‘an, selawat yang memuji Nabi, lagu yang menyuburkan semangat jihad, puisi atau syair yang menghaluskan rasa kehambaan kepada Tuhan, pasti akan menyuburkan lagi iman mereka.
Firman Allah SWT yang tafsirnya:
“Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu kitab suci Al-Qur‘an yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah”.
(Surah Al-Zumar: 23)


FirmanNya lagi yang tafsirnya :
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementerlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah”.
(Surah Al-Anfaal: 2)

Dan firmanNya lagi yang tafsirnya :
“Iaitu orang-orang yang apabila disebut nama Allah, gerun gementarlah hati mereka, dan orang-orang yang sabar terhadap kesusahan yang menimpa mereka, dan orang-orang yang mendirikan sembahyang, serta orang-orang yang mendermakan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepadanya”.
(Surah Al-Hajj: 35)


Semua ibadat jika dilaksanakan dengan penuh perhatian, pasti akan memberi ketenangan jiwa, lihat sahaja ibadat sembahyang, sekalipun merupakan suatu kewajipan orang Islam, ia juga suatu hiburan yang kekal yang menjadikan hati orang yang beriman dan bertaqwa itu terhibur dengan sembahyang kerana mereka terasa sedang berbisik-bisik, bermesra, mengadu dan merintih dengan kekasih hatinya iaitu Allah SWT.

Hal ini telah dijelaskan oleh Rasulullah SAW bahawa dengan sembahyang, hati orang beriman dan bertaqwa sudah terhibur, Baginda bersabda yang maksudnya :
"Di antara kesenangan dunia yang aku sukai ialah wanita, wangi-wangian dan penenang hatiku adalah sembahyang”.
(Hadis riwayat Al-Nasa‘ei)

Selembut Lidah



Daripada Mu'az bin Jabal r.a., telah berkata : saya
berkata:
Duhai Rasulullah ! Tunjukkanlah aku suatu amalan yang
bisa memasukkan aku kedalam syurga dan menjauhkan aku
dari neraka.

Nabi menjawab:
Sebenarnya engkau telah bertanya sesuatu yang besar
(berat). Akan tetapi ia adalah mudah sekali bagi
sesiapa yang dimudahkan Allah Ta'ala iaitu:

HENDAKLAH ENGKAU MENYEMBAH ALLAH DAN TIDAK
MENYEKUTUKANNYA DENGAN SESUATU YANG LAIN.
ENGKAU MENDIRIKAN SEMBAHYANG, MENGELUARKAN ZAKAT,
BERPUASA SEBULAN RAMADHAN DAN MENGERJAKAN HAJI KE
BAITULLAH.

Sesudah itu baginda berujar lagi:

HENDAKKAH ENGKAU, AKU TUNJUKKAN PINTU-PINTU KEBAIKAN ?
PUASA ITU ADALAH BENTENG DAN SEDEKAH MEMADAMKAN
KESALAHAN (DOSA) LAKSANA AIR YANG MEMADAMKAN API.
DEMIKIAN PULA SEMBAHYANG SESEORANG ITU PADA
TENGAHMALAM. KEMUDIAN BAGINDA MEMBACA (AYAT)
tatajaafaa junuubuhum 'anil-madhaaji'i HINGGA ya'
maluun.

Kemudian baginda berujar pula:

MAHUKAH ENGKAU, AKU BERITAHUKAN TENTANG POKOK AMALAN,
TIANGNYA DAN KEMUNCAKNYA ?

Aku menjawab: Mahu, duhai Rasulullah.

Baginda berkata:

POKOK AMALAN IALAH ISLAM, TIANGNYA IALAH SEMBAHYANG,
DAN KEMUNCAKNYA IALAH JIHAD.

Kemudian baginda berujar lagi:

MAHUKAH ENGKAU, AKU BERITAHUKAN TENTANG KUNCI SEMUA
PERKARA INI ?

Aku menjawab: Mahu, duhai Rasulullah.

Baginda lalu memegang lidahnya seraya berkata:
AWAS, JAGALAH INI BAIK-BAIK !

Aku pun berkata pula:
Duhai Nabiullah, apakah kami akan dituntut atas
tutur-bicara kami ?

Baginda lalu menjawab:
MOGA-MOGA ALLAH PELIHARAKAN ENGKAU. TIADA LAIN YANG
AKAN MENJERUMUSKAN MANUSIA MENERUSI MUKA ATAU BATANG
HIDUNGNYA KEDALAM NERAKA, MELAINKAN TUTUR-BICARANYA
SENDIRI. ( Di-riwayat oleh Imam Termizi )

HURAIANNYA:
* 5 perkara - Menyembah Allah, sembahyang, berzakat,
berpuasa dan naik haji (bila cukup syaratnya) adalah
wajib (mesti) pada setiap Muslim.
* Bersedekah dan amalan sunat - menambahkan pahala
semoga dirahmati dan dikasihi Allah.
* Memelihara lisan (lidah) dari berkata-kata perkara
yang tidak perlu atau tidak baik. Berhati-hatilah
ketika bercakap, biarlah semuanya yang baik-baik yang
boleh mendatangkan faedah kepada orang ramai.

Rasul juga ada bersabda bermaksud: jangan banyak
bercakap yang tidak membawa zikir kpd Allah, kerana
bercakap tanpa zikir kpd Allah itu mengeraskan hati,
dan org yang paling jauh di sisi Allah ialah org yang
berhati keras..

Tutup Aurat atau Bungkus Aurat ???




Assalammualaikum wbt

Terdahulu selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak untuk semua muslimin dan muslimat.
Solat adalah ibadat dan boleh pahala. Puasa adalah ibadat dan boleh pahala. Makan minum pun jadi ibadat dan boleh pahala SEKIRANYA dilaksanakan mengikut syariat/peraturan yang telah ditentukan oleh Allah swt. Begitulah juga dalam soal berpakaian.

Maafkan aku wahai muslimahku sekiranya apa yang hendak dikongsikan ini menyinggung persaanmu. Semoga apa yang akan dibicarakan ini akan mendatangkan manafaat dan menjadi keberkatan buat semua muslimin dan muslimat dibulan yang mulia ini hendaknya...insyaallah.

Firman Allah SWT mafhumnya "Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) ALLAH adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [AL-AHZAB;59]

Dan FirmanNya lagi; "Wahai anak-anak Adam! Sesungguh-nya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur)".  [AL-A’RAF; 26]

MENUTUP aurat untuk wanita-wanita Islam Muslimah adalah wajib tapi ramai yang masih tidak menutup aurat dengan sempurna sebagaimana yang dituntut Islam. Malah ada yang seakan-akan memperagakan fesyen seolah-olah mempersendakan hukum atau syariat Islam. Cara yang sebenar menutup aurat adalah dengan mengenakan pakaian yang labuh dan tidak menonjolkan susuk tubuh itu sendiri melainkan telapak tangan dan juga wajahnya. Namun apa yang berlaku dikala ini, tidak ramai muslimah yang berpakaian begitu. Memang benar mereka bertudung, tetapi tidak mengikut cara dan kehendak islam itu sendiri, malahan terikut-ikut budaya fesyen yang dibawa oleh kaum Yahudi itu sendiri....nauzubillah

Kebanyakannya bertudung tetapi memakai pakaian yang ketat-ketat hingga menampakkan susuk tubuh yang seharusnya tidak patut ditonjolkan. Wanita berpakaian ketat dihadapan mahramnya (kerabat si wanita yang haram menikahinya) dan dihadapan wanita lain saja tidak boleh. Apalagi di hadapan lelaki lain.Masalah wanita berpakaian ketat ini ada penegasan dari Rasulullah SAW,
Sabdanya;"pemakainya tak akan masuk syurga, bahkan mencium bau syurga juga tidak.”Dua golongan termasuk ahli neraka, aku belum pernah melihat mereka; satu kaum (penguasa) yang membawa cambuk (besar) seperti ekor sapi,dengannya mereka memukuli manusia; dan kaum wanita yang berpakaian tetapi telanjang, menggoda dan menyimpang, kepala mereka seperti punuk unta yang miring, mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mendapati aromanya, padahal aromanya bisa didapat dari jarak perjalanan sekian dan sekian.” (HR. Muslim)

Kalau begitulah keadaannya, sebenarnya wanita Muslim itu belum lagi menutup aurat yang sempurna. Dia baru nak berjinak-jinak dengan agama sepertimana muallaf yang berjinak dengan agama.  Setengah orang kata, dia tidak serius, dia tidak ikhlas, dia tidak jujur, atau dia tidak faham cara memakai tudung dan menutup aurat yang betul dalam Islam. Ringkasnya ia masih jahil dalam bab menutup aurat. Bagi yang sudah tahu tetapi masih berkeras tidak mahu memakai tudung dengan cara yang betul, maka ia masih engkar pada Allah SWT.

Hari ini apabila ramai wanita mahu memakai tudung, maka pereka fesyen dan peniaga mengambil kesempatan merekabentuk fesyen supaya pemakainya boleh memilih pelbagai rupa bentuk fesyen tudung.  Pereka fesyen dan peniaga mencari keuntungan di atas permintaan dan trend wanita Islam memakai tudung tanpa mengira samada rekaan fesyennya atau jualan tudung itu memenuhi syarat pakaian tudung dalam Islam.

Akhirnya direka dan dijuallah tudung tiga segi yang pendek dan kontot hingga tidak dapat menutup dada dan ketulan daging tubuh wanita. Adakah pereka dan penjual akan terlepas dari hukum Tuhan kerana menyedia dan menjual tudung seperti itu?

Apa pun, manusia ada nafsu. Kadang nafsu mengatasi iman dan akal. Itu urusan dia dengan Allah.

Kalau iman dan taqwa tinggi, ia akan tunduk pada peraturan cara memakai tudung yang betul dan menutup aurat dengan sempurna.

Kalau tepuk dada tanya selera, maka ia akan utamakan nafsu. Kalau tepuk dada tanya iman, dia tidak banyak cakap, tidak banyak berkira, tidak banyak kompromi lagi. Dia tahu dia hanyalah salah satu ciptaan Allah, dan dia akan kembali kepada Allah dan berhadapan dengan Allah serta menjawab pelbagai soalan mengenai auratnya.

Sesungguhnya manusia itu terima semua yang diberi oleh Pencipta seperti makan, minum, kesihatan, rezeki dan macam-macam lagi kalau mahu dihitung sudah pasti manusia tidak dapat menghitungnya nikmat tuhan, tetapi bila disuruh menutup aurat dia ingkar, suruh solat dia ingkar, suruh zakat dia ingkar dan banyak lagi keingkaran yang dilakukan oleh manusia.

Kecantikan seorang wanita terletak pada sejauh mana ketaatannya kepada Allah SWT. Adalah suatu yang salah kalau orang perempuan merasakan kaum lelaki akan tertawan dengan rupa parasnya semata-mata tanpa melihat kepada unsur-unsur keagamaan pada dirinya.Kecantikan dan rupa paras yang Allah SWT berikan adalah untuk tontonan suami bukannya untuk orang lain. Dunia dipenuhi dengan perhiasan, maka sebaik-baik perhiasannya ialah wanita solehah.

Oleh yang demikian, fikirkanlah wahai muslimahku, kembalilah kepada apa yang dperintahkan oleh Allah SWT semoga kita tidak akan disesatkan oleh syaitan. Allah SWT berfirman mafhumnya;
"Wahai anak-anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh Syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari Syurga, sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka: aurat mereka (yang sebelum itu tertutup). Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan Syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman." [ AL-A’RAF; 27]

Katakanlah: "Api neraka Jahannam lebih panas membakar", kalaulah mereka itu orang-orang yang memahami." [ AT-TAUBAH; 81]

Bersabarlah bila berpakaian cara Islam. Panas di dunia hanya sementara.Setiap yang Allah perintahkan itu ada hikmah dan ganjarannya. Semoga Ramadhan kali ini akan menjadi lebih baik buat kita semua....
amin yarabbal 'alamin.

ALLAH KUASA MAKHLUK TAK KUASA

Apa kah kaum HAWA itu jahat ?


     Dalam buku Nahjul Balaghah karangan Amirul-Mukminin Ali bin Abi Thalib r.a terdapat suatu keterangan:
    “Wanita itu jahat dalam segalanya. Dan yang paling jahat dari dirinya ialah kita tidak dapat terlepas daripadanya.”
Apakah erti yang sebenarnya (maksud) dari kalimat tersebut? Apakah hal itu sesuai dengan pandangan Islam terhadap wanita?

Ada dua hal yang nyata kebenarannya, tetapi harus dijelaskan lebih dahulu, iaitu:

Pertama, yang menjadi pegangan atau dasar dari masalah-masalah agama ialah firman Allah swt. dan sabda Nabi saw, selain dari dua ini, setiap orang kata-katanya boleh diambil dan ditinggalkan. Maka, Al-Qur’an dan As-Sunnah, kedua-duanya adalah sumber yang kuat dan benar.

Kedua, sebagaimana telah diketahui oleh para analis dan cendekiawan Muslim, bahawa semua tulisan yang ada pada buku tersebut di atas (Nahjul Balaghah), baik yang berupa dalil-dalil atau alasan-alasan yang dikemukakan, tidak semuanya tepat. Diantara hal-hal yang ada pada buku itu ialah tidak menggambarkan masa mahupun fikiran serta cara di zaman Ali r.a.

Oleh sebab itu, tidak dapat dijadikan dalil dan tidak dapat dianggap benar, kerana semua kata-kata dalam buku itu tidak ditulis oleh Al-Imam Ali r.a.

Di dalam penetapan ilmu agama, setiap ucapan atau kata-kata dari seseorang, tidak dapat dibenarkan, kecuali disertai dalil yang shahih dan bersambung, yang bersih dari kekurangan atau aib dan kelemahan kalimatnya.

Maka, kata-kata itu tidak dapat disebut sebagai ucapan Ali r.a. kerana tidak bersambung dan tidak mempunyai sanad yang shahih. Sekalipun kata-kata tersebut mempunyai sanad yang shahih, bersambung, riwayatnya adil dan benar, maka wajib ditolak, kerana hal itu bertentangan dengan dalil-dalil dan hukum Islam. Alasan ini terpakai di dalam segala hal (kata-kata) atau fatwa, walaupun sanadnya seterang matahari.
Mustahil bagi Al-Imam Ali r.a. mengatakan hal itu, dimana beliau sering membaca ayat-ayat Al-Qur’an, di antaranya adalah:
“Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari seorang, yang kemudian darinya Allah lantas menciptakan isterinya, dari keduanya Allah mengembang biak kan laki-laki dan wanita yang banyak …”                       (Q.s. An-Nisa’: 1)

“Maka Tuhan mereka memperkenankan permohonannya (dengan firman-Nya): ‘Bahawa sesungguhnya Aku tiada mensia-siakan amal orang-orang yang beramal di antara kamu, baik laki-laki mahupun wanita, (kerana) sebahagian darimu adalah keturunan dari sebahagian yang lain …” (Q.s. Ali Imran: 195).

“Dan diantara tanda-tanda kekuasaan Allah ialah Dia menciptakan untuk mu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Allah menjadikannya diantara kamu rasa kasih dan sayang …”                              (Q.s. Ar-Ruum: 21).

Masih banyak lagi di antara ayat-ayat suci Al-Qur’an yang mengangkat dan memuji darjat kaum wanita, disamping kaum laki-laki. Sebagaimana Nabi saw. bersabda:
“Termasuk tiga sumber kebahagiaan bagi laki-laki ialah wanita solehah, kediaman yang baik dan kenderaan yang baik pula.” (H.r. Ahmad dengan sanad yang shahih).

“Di dunia ini mengandungi kenikmatan, dan sebaik-baik kenikmatan itu adalah wanita yang solehah.” (H.r. Imam Muslim, Nasa’i dan Ibnu Majah).
“Barangsiapa yang dikurniai oleh Allah wanita yang solehah, maka dia telah dibantu dalam sebahagian agamanya; maka bertakwalah pula kepada Allah dalam sisanya yang sebahagian.”

Banyak lagi hadis-hadis dari Nabi saw. yang memuji wanita; maka mustahil bahawa Ali r.a. berkata sebagaimana di atas.

Sifat wanita itu berbeza dengan sifat laki-laki dari segi fitrah; kedua-duanya dapat menerima kebaikan, kejahatan, hidayah. kesesatan dan sebagainya.
Firman Allah swt. dalam Al-Qur’an,
“Jiwa dan penyempurnaannya (ciptaannya); maka Allah mengilhamkan pada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketaqwaannya. Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu, dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.”               (Q.s. Asy-Syams: 7-10)

Mengenai fitnah yang ada pada wanita disamping fitnah yang ada pada harta dan anak-anak, dimana hal itu telah diterangkan di dalam Al-Qur’an dan dianjurkan supaya mereka waspada dan menjaga diri dari fitnah tersebut.

Dalam sabda Rasulullah saw. diterangkan mengenai fitnahnya kaum wanita, iaitu seperti berikut,
“Setelah aku tiada, tidak ada fitnah yang paling besar gangguannya bagi laki-laki daripada fitnahnya wanita.” (H.r. Bukhari).

Erti dari hadis di atas menunjukkan bahawa wanita itu bukan jahat, tetapi mempunyai pengaruh yang besar bagi manusia, yang di kuatirkan lupa pada kewajipannya, lupa kepada Allah dan terhadap agama.
Selain masalah wanita, Al-Qur’an juga mengingatkan manusia mengenai fitnah yang disebabkan dari harta dan anak-anak.

Allah swt. berfirman dalam Al-Qur’an:
“Sesungguhnya harta-harta dan anak-anakmu adalah fitnah (cubaan bagimu); dan pada sisi Allah-lah pahala yang besar.” (Q.s. At-Taghaabun: 15)

“Hai orang-orang yang beriman!Janganlah harta-hartamu dan anak-anakmu melalaikanmu mengingat kepada Allah. Barangsiapa yang berbuat demikian’ maka mereka termasuk orang-orang yang merugi.” (Q.s. Al-Munaafiquun: 9).

Selain dari itu (wanita, anak-anak dan harta yang dapat mendatangkan fitnah), harta juga sebagai sesuatu yang baik.
Firman Allah swt.:
“Allah menjadikan bagi kamu isteri-isteri dari jenismu sendiri dan menjadikan bagimu dan isteri-isterimu itu, anak-anak dan cucu; dan memberimu rezeki dari harta yang baik-baik …” (Q.s. An-Nahl: 72)

Oleh kerana itu, dianjurkannya untuk waspada dari fitnah kaum wanita, fitnah harta dan anak-anak, hal itu bukan bererti kesemuanya bersifat jahat, tetapi demi mencegah timbulnya fitnah yang dapat melalaikan kewajipan-kewajipan yang telah diperintahkan oleh Allah swt.

Allah swt. tidak mungkin menciptakan suatu kejahatan, kemudian dijadikannya sebagai suatu keperluan dan keharusan bagi setiap makhluk-Nya.
Makna yang tersirat dari suatu kejahatan itu adalah suatu bahagian yang amat sensitif, realitinya menjadi lazim bagi kebaikan secara mutlak. Segala bentuk kebaikan dan kejahatan itu berada di tangan (kekuasaan) Allah swt.

Oleh sebab itu, Allah memberikan bimbingan bagi kaum laki-laki untuk menjaga dirinya dari bahaya dan fitnah yang dapat disebabkan dan mudah dipengaruhi oleh hal-hal tersebut.

Diwajibkanjuga bagi kaum wanita, agar waspada dan berhati-hati dalam menghadapi tipu muslihat yang diupayakan oleh musuh-musuh Islam untuk menjadikan kaum wanita sebagai sarana perosak budi pekerti, akhlak yang luhur dan bernilai suci.

Wajib bagi para wanita Muslimat kembali pada kudratnya sebagai wanita yang soleh, wanita hakiki, isteri solehah, dan sebagai ibu teladan bagi rumahtangga, agama dan negara.

Sumber: Fatwa Qardhawi – Permasaalahan, Pemecahan dan Hikmah

ALLAH KUASA MAKHLUK TAK KUASA